Sejarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor

Last Updated: Tuesday, 29 November 2016

kuala lumpur book club

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) telah ditubuhkan melalui Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor 1986 dan diwartakan dalam Warta Kerajaan No. 5, bertarikh 27 Mac 1969 serta Warta Kerajaan No.7, 1975 (pindaan).

Pada tahun 1971, satu Lembaga Pengarah PPAS telah dibentuk bagi memulakan sebuah perpustakaan awam di Negeri Selangor. Langkah pertama ke arah ini ialah dengan pengambilalihan Kelab Buku Kuala Lumpur pada 20 Oktober 1971 untuk dijadikan sebagai sebuah Perpustakaan Pusat.

Perpustakaan ini kemudian berpindah ke Shah Alam pada 16 November 1986. Rekabentuk bangunan perpustakaan adalah bercirikan kebudayaan Bugis dan rekabentuk dalamannya pula merupakan pertembungan antara budaya Timur dan Barat. Perpustakaan ini juga adalah perpustakaan awam yang terbesar, malah termoden di Asia Tenggara. Pada 15 Mac 1988, perpustakaan ini telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan bangunan ini dinamakan sebagai Raja Tun Uda dan dibuka kepada orang ramai.

ppas old

Perkhidmatan perpustakaan disalurkan kepada semua rakyat Negeri Selangor melalui 1 Perpustakaan Pusat, 6 Perpustakaan Daerah, 3 Perpustakaan Cawangan, 4 Perpustakaan Pekan, 50 Perpustakaan Desa, 13 unit Perpustakaan Bergerak (146 perhentian) dan 1 unit Perpustakaan Bergerak Multimedia (E-Pustaka). Perpustakaan Raja Tun Uda menggunakan sistem perkomputeran yang selari dengan perkembangan teknologi maklumat (IT). Selain daripada perkhidmatan pinjaman dan rujukan, perpustakaan ini juga menyediakan pelbagai perkhidmatan antaranya perkhidmatan Multimedia/Internet, perkhidmatan Alat Pandang Dengar, OPAC, Membe’mu (SMS), Ekommaju : e-komuniti, Jejak IT : e-learning dan perkhidmatan Maklumat Komuniti (PKIT).

Oleh kerana sistem serta urus tadbir yang cekap dan cemerlang, Perpustakaan Raja Tun Uda telah diiktiraf dengan sijil MS ISO 9002 : 94 oleh Lloyd’s Register Quality Assurance (LRQA) pada 5 Julai 2001. Selepas itu, pada Julai 2003 PPAS telah diiktirafkan pensijilan MS ISO 9001:200. PPAS merupakan perpustakaan awam pertama di Malaysia yang menerima persijilan MS ISO. Persijilan MS ISO 9001 : 2000 telah diperluas ke Perpustakaan Cawangan Sungai Besar.

Pada 27 Ogos 2005, majlis pecah tanah untuk bangunan baru Perpustakaan Raja Tun Uda telah disempurnakan oleh Duli yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkonsepkan “Perpustakaan Dalam Taman” manakala kerja-kerja pembinaan bermula pada  September 2007. Perpindahan ke Bangunan Baru Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam bermula dari 15 April 2011 manakala perkhidmatan perpustakaan dibuka kepada orang ramai pada 22 Julai 2011.

ppas now

Bangunan yang berkeluasan 203,600 kaki persegi (18,922 meter persegi) ini adalah setinggi 6 tingkat dan boleh memuatkan seramai 2,500 orang serta 400,000 naskhah buku pada satu-satu masa. Majlis Perasmian Bangunan Baru telah disempurnakan oleh Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada hari Sabtu, 10 Disember 2011 bersamaan 14 Muharam 1433H.