Perutusan Pengarah

(Petikan Ucapan Pengarah Sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan pada 15 Oktober 2012)

Gambar Pengarah PPAS

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

 

Di Malaysia, perpustakaan awam negeri berjumlah 12 kesemuanya, termasuk Perpustakaan Awam Selangor. Dari segi perbandingan perpustakaan awam negeri dengan perpustakaan akademik seluruh negara pada tahun 2010, jumlah pengunjung perpustakaan awam negeri adalah jauh melebihi pengunjung perpustakaan akademik IPTA, iaitu 16.6 juta berbanding 14.2 juta.

Apabila dianalisa dari segi keahlian pula, pada tahun 2010 perpustakaan awam negeri se-Malaysia telah mengumpulkan seramai 5.7 juta ahli, berbanding 900 ribu orang ahli di perpustakaan akademik IPTA.

Hal ini adalah satu perkara yang amat memberangsangkan, kerana masyarakat umumnya datang ke perpustakaan awam atas pilihan mereka sendiri, berbeza daripada universiti dan kolej yang mana pelajar memang perlu ke perpustakaan akademik untuk mendapatkan CGPA yang tertinggi.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Perpustakaan Awam Selangor telah bertapak selama lebih 40 tahun. Namun perjalanan penjenamaan semula PPAS hanya bermula sejak 3 tahun lalu. Penjenamaan semula ataupun rebranding ini perlu kerana setelah 40 tahun, sudah tiba masanya perpustakaan bukan lagi dilihat sebagai sebuah institusi yang berkaitan buku dan rak buku semata-mata. Perpustakaan perlukan perubahan halatuju yang baru untuk kekal relevan dalam kehidupan masyarakat, agar ia selari dengan perkembangan zaman.

Sebelum Perpustakaan Raja Tun Uda berpindah ke bangunan baru di Seksyen 13, perpustakaan ini telah melalui proses rebranding yang menekankan 3 elemen utama, iaitu :

  • Perubahan hati, minda, dan sikap
  • Penaiktarafan infrastruktur perpustakaan
  • Penambahbaikan koleksi perpustakaan

 

Di antara keistimewaan utama perpustakaan negeri ini ialah Dinding Bukunya, yang menampilkan 4 tema berbeza di setiap tingkat, bermula dengan tema galaksi di tingkat 4, bumi di tingkat 3, lautan di tingkat 2, dan anatomi manusia di tingkat 1. Dinding Buku ini adalah hasil inovasi dari ilham DYMM Sultan Selangor, yang mencadangkan Perpustakaan Raja Tun Uda mencontohi rak buku di Perpustakaan Singapura yang melekap di dinding. Proses rekabentuk mural Dinding Buku ini sahaja melalui 7 kali perubahan, dan fakta-fakta yang dipaparkan di sini juga dipilih secara teliti oleh kakitangan perpustakaan sendiri.

Sejak beroperasi pada 22 Julai tahun lalu, Perpustakaan Raja Tun Uda di Seksyen 13 ini telah menerima seramai 598, 704 orang pengunjung sehingga 30 September lalu. Pada hari minggu, secara purata perpustakaan menerima 4-7 ribu pengunjung sehari, manakala pada hari biasa, antara 1-3 ribu sehari. Angka ini adalah sebelum Perpustakaan Raja Tun Uda melanjutkan perkhidmatannya ke pukul 9 malam pada hari Sabtu dan Ahad, dan hingga ke pukul 7 malam pada hari Isnin hingga Jumaat.

Perpustakaan ini juga turut menyediakan kemudahan lain seperti akses Internet melalui komputer berasaskan Windows dan iMac, WiFi percuma, gimnasium, teater XD, dan teater 3D. Pengguna teater XD sehingga Jun lalu telah mencecah 18,692 orang, manaka penggunaan komputer multimedia telah mencapai 29,143 orang.

Semasa berpindah ke bangunan baru, Perpustakaan Raja Tun Uda memiliki sebanyak 175 ribu naskhah buku. Kini koleksi bukunya baru sahaja mencecah 195 ribu naskhah, sedangkan perpustakaan ini boleh memuatkan 400 ribu naskhah buku.

PPAS turut menerima sumbangan buku daripada koleksi peribadi DYMM Sultan Selangor sebanyak sebanyak 1,284 naskhah. Borders Malaysia juga telah menyumbangkan lebih daripada 2 ribu naskhah buku semasa perasmian bangunan baru ini.

Kumpulan Perangsang Selangor menyumbangkan sebanyak RM 100 ribu untuk koleksi buku, dan kami menerima RM 50 ribu dari Worldwide Holdings juga untuk koleksi buku perpustakaan.

Selain itu, sumbangan buku terkini ialah dari Thomson reuters yang menyumbangkan buku-buku perundangan sebanyak 239 naskhah yang bernilai RM 80 ribu, manakala MAIS pula menyumbang sebanyak 1,414 naskhah buku bernilai RM 60 ribu.

Dengan pengalaman perpustakaan selama lebih 40 tahun dan setelah melalui pelbagai perubahan hasil daripada penjenamaan semula ini, alhamdulillah Perpustakaan Awam Selangor kini telah berjaya mengumpulkan keahlian terkumpul seluruh negeri seramai 996,400 sehingga Disember tahun lalu.

Di Perpustakaan Raja Tun Uda sahaja, bagi pengguna perkhidmatan selain pinjaman buku, jumlahnya telah mencapai 27,874 pengguna pada 6 bulan pertama tahun ini sahaja.

Sejak dibuka kepada orang ramai, Perpustakaan Raja Tun Uda menerima 468 lawatan sehingga 30 September lalu. Lawatan ini terdiri daripada pelbagai kategori, dari sekolah tadika hinggalah ke jabatan-jabatan kerajaan dan badan korporat. Kami juga menerima lawatan dari luar negara seperti Universiti Gadjah Mada Indonesia, lawatan balas dari National Library Board of Singapore, Hong Kong Libraries, dan Kementerian Pendidikan Palestin.

Adakala kami menerima sehingga 8 kumpulan lawatan serentak dalam satu hari, dan ini sebenarnya boleh disebut juga sebagai “a nice problem to have”.

 

Hadirin yang dihormati,

 

Sebelum berpindah ke bangunan baru, PPAS pada masa yang sama turut melakukan proses penjenamaan semula untuk perpustakaan di daerah. Kami bermula dengan Perpustakaan Apartment Sri Mawar di Bukit Beruntung, dengan kos ubahsuai sebanyak RM 40 ribu untuk keluasan perpustakaan 711.5 kaki persegi (nisbah kos ubahsuai per kaki persegi ialah RM 56.22), kos kelengkapan RM 20 ribu, dan koleksi buku RM 10 ribu.

Pembangunan Perpustakaan Bukit Beruntung ini adalah hasil kerjasama dua Exco, iaitu YB Tuan Iskandar melalui Lembaga Perumahan dan Pejabat Exco Pendidikan, YB Dr Halimah Ali.

Bagi pembangunan Perpustakaan Sri Manja pula, hasil kerjasama YB Puan Haniza, ADUN Taman Medan, PPAS membelanjakan RM 110 ribu untuk kos ubahsuai bagi keluasan 1,500 kaki persegi (nisbah kos ubahsuai per kaki persegi = RM73.33). Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM 50 ribu dan dari bajet PPAS sendiri sebanyak RM 35 ribu.

Pembangunan Perpustakaan Desa Sri Perantau pula mendapat kerjasama Lembaga Perumahan dan Exco Pendidikan serta PKNS, di mana kami mengubahsuai satu unit flat berkeluasan 700 kaki persegi kepada perpustakaan. Kos ubahsuainya ialah RM 35 ribu (nisbah kos ubahsuai per kaki persegi = RM 50), kos perabot RM 15 ribu, dan untuk buku dan komputer sebanyak RM 30 ribu.

Di Ampang Waterfront, bangunan perpustakaannya diberikan oleh MPAJ dengan kerjasama YB Tuan Iskandar. Jumlah perbelanjaan untuk Perpustakaan Ampang Waterfront ini ialah RM 350 ribu, dengan nisbah kos ubahsuai per kaki persegi sebanyak RM 40.78 sahaja.

Terbaru ialah Perpustakaan Pandan Jaya yang dirasmikan pada 9 Jun lalu, dengan kos ubahsuai RM 200 ribu untuk keluasan 5,500 kaki persegi (nisbah kos ubahsuai per kaki persegi = RM 36.36), perabot RM 120 ribu, dan koleksi buku bernilai RM 80 ribu.

 

Hadirin yang dihormati,

 

Walaupun dengan kekangan bajet, 96 perpustakaan di bawah PPAS berjaya menjalankan 902 aktiviti pada tahun lalu.

Apabila kami analisa nisbah kakitangan PPAS per pengguna pada tahun 2011, seorang kakitangan mengendalikan 191 keahlian, dan seorang kakitangan jgua mengendalikan 3,669 pengunjung.

Bagi kakitangan Perpustakaan Raja Tun Uda sahaja, seorang kakitangan mengendalikan 96 keahlian dan 2,903 pengunjung.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, sukalah saya berkongsi satu keratan akhbar dari Singapura, bagaimana NLB Singapore memberi kesedaran kepada masyarakat awamnya mengenai proses perolehan buku perpustakaan, yang mana mereka membelanjakan sebanyak RM 72 juta hanya untuk koleksi buku.

Di kesempatan ini juga, saya bagi pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi dan jabatan yang telah banyak memberikan kerjasama dan sokongan kepada kami seperti Kumpulan Perangsang Berhad, MAIS, Lembaga Perumahan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pejabat Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Worldwide Holdings, Lembaga Zakat Selangor, Pejabat ADUN, termasuk juga individu yang bermurah hati menyumbangkan koleksi buku mereka kepada perpustakaan.

Akhir kata, kami mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan kepada perpustakaan, yang akan dapat dipanjangkan manfaatnya kepada masyarakat, insya Allah.

 

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullai wabarakatuh.