Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) telah memulakan inisiatif BooksFly2U iaitu pinjaman buku secara atas talian dan penghantaran buku pinjaman perpustakaan ke alamat rumah peminjam sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dikuatkuasakan. Melalui inisiatif ini, ahli Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam dan ahli dari 103 perpustakaan lain di bawah pengurusan PPAS boleh membuat tempahan pinjaman buku melalui telefon dan menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk buku-buku pinjaman tersebut dihantar ke alamat masing-masing.
PPAS berhasrat agar masyarakat boleh mengakses kepada kemudahan perpustakaan dan pada masa yang sama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Di samping bahan bacaan berbentuk digital yang sememangnya boleh diakses terus melalui atas talian, inisiatif BooksFly2U ini diwujudkan sebagai solusi kepada masyarakat yang perlukan buku fizikal.