BooksFly2U

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) telah memulakan inisiatif BooksFly2U iaitu pinjaman buku secara atas talian dan penghantaran buku pinjaman perpustakaan ke alamat rumah peminjam sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dikuatkuasakan. Melalui inisiatif ini, ahli Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam dan ahli dari 103 perpustakaan lain di bawah pengurusan PPAS boleh membuat tempahan pinjaman buku melalui telefon dan menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk buku-buku pinjaman tersebut dihantar ke alamat masing-masing.

PPAS berhasrat agar masyarakat boleh mengakses kepada kemudahan perpustakaan dan pada masa yang sama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Di samping bahan bacaan berbentuk digital yang sememangnya boleh diakses terus melalui atas talian, inisiatif BooksFly2U ini diwujudkan sebagai solusi kepada masyarakat yang perlukan buku fizikal.

 

Selain dihantar ke alamat rumah, masyarakat juga boleh memohon agar buku yang dipinjam dihantar ke mana-mana cawangan perpustakaan PPAS yang terdekat dengan rumah masing-masing untuk diambil sendiri jika tidak mahu menggunakan perkhidmatan e-hailing. Pemulangan buku boleh dilakukan ke cawangan perpustakaan terdekat, atau juga menggunakan perkhidmatan “e-hailing.”

Melalui perkhidmatan BooksFly2U, pengguna perpustakaan hanya perlu membuat panggilan telefon ke nombor 011-5687 7760 dan menyatakan judul buku yang hendak dipinjam. Seterusnya petugas perpustakaan akan mendapatkan buku tersebut dalam tempoh dua hari dan mengaturkan penghantaran buku menggunakan khidmat e-hailing pilihan pengguna.

 

 

 

Perkhidmatan BooksFly2U telah dilancarkan pada 16 Julai 2020 di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

ms_MYMY