Perpustakaan Raja Tun Uda (PRTU), Shah Alam kini melebar kelengkapan terbaru Perpustakaan Pembelajaran Kreatif untuk dinikmati semua peringkat umur.
Tambahan binaan baru seluas 105,000 kaki persegi menghidang bahan dan kelengkapan serba inovatif, melonjak reputasi PRTU sebagai mercu tanda pembelajaran inklusif, interaktif lagi holistik.
Pembinaan bermula Oktober 2023 dan dijangka siap September 2026.
Sayap terbaru ini direka dengan visi membawa pengalaman belajar komprehensif, sesuai untuk semua peringkat umur dan keupayaan, dari si-anak kecil sehingga hingga warga emas.
Kemudahan kreatif di sayap terbaru ini menghidang ruang dinamik khusus, memfokus elemen bukan buku termasuk aspek deria yang sangat penting bagi kanak-kanak berkeperluan khas.
Matlamat PRTU adalah mewujud persekitaran memboleh pertumbuhan kendiri berdaya maju untuk pengunjung teroka minat masing-masing dengan cara unik lagi menarik.
Antara komponen dan ruang terbaru yang disediakan: Perpustakaan Pembelajaran Kreatif, Galeri Di-Raja dan Koleksi Buku Di-Raja, blok santapan F&B, kafe terapung di rumah pam dan kafe koleksi buku terbaru.
Demi mempertingkat pengalaman positif para pengunjung, setiap komponen direka dengan sangat teliti.
Perpustakaan Pembelajaran Kreatif
Komponen terpenting di sayap baru ini menempatkan ruang pembelajaran kreatif khusus kanak-kanak.
Ruang ini dilengkapi alat dan sumber interaktif bagi merangsang minda si-kecil dan memupuk minat belajar.
Perhatian khusus diberi kepada aspek deria bagi memasti kanak-kanak berkeperluan khas miliki akses kepada persekitaran yang menyokong dan memperkaya.
Mempamer koleksi di-raja
Salah satu ciri paling menarik sayap baharu ialah Galeri Di-Raja.
Galeri ini akan menduduki dua tingkat, satu khusus untuk Koleksi Buku Di-Raja dan satu lagi untuk Galeri Di-Raja. Kedua-duanya memapar buku dan koleksi seni Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor.
Idea di sebalik mempamer koleksi buku Di-Raja ini adalah untuk memberi orang ramai akses kepada khazanah sastera berharga yang jarang ditemui lagi bernilai tinggi, memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan dan sejarah negara.
Ia berfungsi sebagai sumber bernilai untuk pelajar, penyelidik dan peminat sejarah; menawar akses kepada koleksi buku yang jarang ditemui; dan pameran sementara untuk menginspirasi pembelajaran dan penemuan.
Tingkat ini turut memuatkan Galeri Menteri Besar, Pusat Penyelidikan & Pembangunan dan ruang pameran sementara boleh muat sehingga 750 orang.
Blok F&B dan kafe terapung
Tidak lupa juga aspek gastronomi dengan pembinaan blok F&B serba baru bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Selain itu, kafe terapung di rumah pam menyediakan pengalaman menjamu selera unik di persekitaran tasik yang indah dan hening.
Bukan sekadar tempat makan, malah direka bentuk menjadi hab sosial, ruang berhubung dan berkongsi idea antara komuniti.
Laluan pejalan kaki dan jambatan di sekitar perpustakaan memudahkan pergerakan pengunjung di seluruh kompleks perpustakaan sambil menikmati keindahan alam semula jadi di sekitaran. Sesuai untuk jalani aktiviti riadah, santai, berjalan-jalan dan aktiviti senaman.
Kawasaki promenad pula disasarkan untuk aktiviti kecil seperti Zumba.
Kafe buku
Kafeteria sedia ada bakal menjadi kafe buku, menyedia ruang untuk pengunjung membeli buku dan bahan pendidikan lain sambil menikmati hidangan ringan.
Transformasi ini bertujuan mewujud sudut selesa untuk pencinta buku meneroka dan membelek bahan bacaan.
Kebolehcapaian dan Inklusiviti
Aspek penting dalam Perpustakaan Pembelajaran Kreatif ialah komitmennya terhadap kebolehcapaian dan inklusiviti.
Sayap baharu ini direka untuk memenuhi keperluan individu dengan keperluan khas, memasti setiap individu, tanpa mengira keupayaan mereka, dapat menikmati setiap kelengkapan tersedia serta mengambil bahagian sepenuhnya dalam semua aktiviti yang ditawarkan perpustakaan.
Terdapat rancangan masa panjang untuk memperkenal kolam cetek khusus untuk kanak-kanak autisme.
Ini menyerlahkan komitmen perpustakaan untuk menyokong keperluan khas. Kemudahan ini akan menyediakan ruang terapeutik untuk kanak-kanak, membantu mereka mengembang kemahiran penting dalam persekitaran yang selamat dan penuh sokongan.
Dengan memenuhi keperluan unik kanak-kanak, perpustakaan memasti setiap ahli masyarakat peluang untuk berkembang maju.
PRTU kekal memberi perkhidmatan penuh dedikasi dalam menyedia persekitaran selamat dan menyokong semua ahli masyarakat.
Kelestarian turut diberi keutamaan dalam pembangunan sayap baharu itu. Pokok-pokok yang dicabut semasa proses pembinaan akan ditanam semula bagi memastikan projek itu memberi impak yang minimum kepada alam sekitar.
Komitmen terhadap amalan hijau ini mencerminkan misi perpustakaan yang lebih luas untuk mempromosikan hubungan harmoni antara ruang pembelajaran dan alam semula jadi.
Sumber penting komuniti
Perpustakaan Pembelajaran Kreatif bersedia menjadi sumber penting komuniti Shah Alam dan warga Selangor.
Dengan menawar pelbagai kemudahan dan perkhidmatan, ia bertujuan memenuhi pelbagai keperluan masyarakat.
Sama ada melalui ruang pembelajaran mesra deria untuk kanak-kanak, suasana tenang kafe terapung, atau cerapan sejarah yang kaya Koleksi Di-Raja, ia beriltizam memperkasa kehidupan pengunjung.
Projek berwawasan
Pendekatan inovatif Perpustakaan Pembelajaran Kreatif bakal pertingkat peluang pembelajaran signifikan buat rakyat Selangor.
Dengan menggabung aspek deria dan alat interaktif, perpustakaan menyedia persekitaran yang merangsang minat kepada kanak-kanak serta menggalakkan rasa ingin tahu dan kreativiti.
Sayap Perpustakaan Pembelajaran Kreatif PRTU terbaru ini bukan setakat perluasan atau pembinaan lebih besar bahkan projek berwawasan yang merangkumi prinsip keterangkuman, kebolehcapaian dan pembelajaran holistik.
Dengan reka bentuk yang inovatif dan pelbagai perancangan, pasti menjadi tambahan transformatif untuk warga Selangor memperkaya kehidupan dan memupuk komuniti yang dinamik lagi terhubung.
Menjelang September 2026, ia bakal meningkat upaya masyarakat dengan hidangan ruang serba canggih lalu melonjak PRTU menyerlah sebagai pusat pembelajaran dan interaksi sosial terpenting di rantau ini.
TAMAT