×

Dr Malik Yatam Catat Sejarah sebagai Banduan Pertama Raih PhD dalam Penjara

Dr Malik Yatam Catat Sejarah sebagai Banduan Pertama Raih PhD dalam Penjara

SHAH ALAM: Dr Malik Yatam mencipta sejarah sebagai banduan pertama di Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian hingga peringkat Doktor Falsafah (PhD) ketika masih menjalani hukuman penjara, sekali gus menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Kisah perjalanan hidup dan perjuangan Dr Malik dirakamkan menerusi buku PhD dari Penjara, terbitan OUM, yang dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, di Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.

Baginda bertitah bahawa pengampunan dan peluang kedua yang diberikan kepada Dr Malik perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membina kehidupan baharu, sekali gus membuktikan bahawa seseorang yang pernah tersilap langkah mampu berubah melalui ilmu, keinsafan dan kesungguhan.

Baginda turut menasihati Dr Malik supaya menjaga nama baik, terus berusaha memajukan diri dan tidak hanyut dalam kemasyhuran sehingga menjadi alpa atau hilang arah. 

Beliau juga dinasihati agar tidak mudah terpengaruh atau terperangkap dalam politik.

Dr Malik, yang menjalani hukuman penjara selama 24 tahun sejak berusia 14 tahun, berkata kemiskinan memaksanya berhenti sekolah dan bekerja. Namun, akibat kejahilan, beliau telah ditipu oleh seorang ejen sehingga akhirnya dijatuhi hukuman penjara.

Katanya, tekanan emosi, fizikal dan mental sepanjang berada di penjara menyebabkan beliau hampir berputus asa. Namun, hidayah yang diterimanya pada 2003 mendorong beliau kembali menuntut ilmu dan mengubah kehidupannya.

Dengan bantuan pegawai serta kakitangan penjara, beliau menyambung pelajaran dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2005, diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sebelum melanjutkan pengajian di OUM sehingga berjaya memperoleh PhD.

ms_MYMY
Multi-Lang
PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM SELANGOR

No Latest Announcement

No Latest Announcement