Perpustakaan Syed Mashor di Kuala Kubu Baharu mampu menjadi pusat kegiatan intelektual dan budaya bagi masyarakat setempat, kata Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Amirudin, yang juga adalah pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, turut mengharapkan agar perpustakaan daerah ini dijaga dengan baik sebagai warisan berharga untuk generasi akan datang.
“Hari ini, kita bukan sekadar meraikan pembukaan sebuah bangunan, tetapi kita merayakan cahaya ilmu yang dinyalakan di dalam hati masyarakat.
“Perpustakaan ini bukan hanya sebuah tempat untuk menyimpan buku, tetapi lebih daripada itu, ia adalah sebuah tempat di mana pengetahuan dipelajari, dan masa depan dipersiapkan,” kata beliau dalam ucapan bersempena Majlis Perasmian Penjenamaan Semula perpustakaan tersebut pada Mei 3.
Beliau mengajak semua masyarakat setempat untuk memanfaatkan perpustakaan ini dengan sebaik-baiknya.
“Perpustakaan mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat komuniti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dan program untuk penduduk tempatan.
“Mari kita jadikan perpustakaan ini sebagai tempat berkumpulnya idea yang konstruktif, tempat lahirnya inovasi dan tempat tumbuhnya generasi yang penuh semangat untuk mencapai impian mereka,” tambah beliau.
Selain itu, Amirudin juga menekankan pentingnya meningkatkan aksesibiliti dan relevansi perpustakaan dengan teknologi moden.
Dengan sumber digital yang lebih banyak, peralatan pengajaran dan pembelajaran canggih, serta program interaktif, perpustakaan dapat memberi peluang berharga kepada pelajar untuk mengasah kemahiran mereka dan mengenal teknologi terkini, kata beliau.
Beliau turut menyokong inisiatif baru PPAS untuk menjadikan perpustakaan sebagai premis mesra transit, dengan harapan inisiatif ini dapat memberi peluang kepada anak-anak untuk memiliki tempat selamat selepas waktu sekolah.
“Di kesempatan ini, saya juga ingin menyokong inisiatif baru PPAS yang ingin menjadikan perpustakaan sebagai premis mesra transit dan perpustakaan ini menjadi perintis dalam inisiatif ini.
“InshaAllah inisiatif ini akan diperluaskan ke perpustakaan-perpustakaan lain yang dinaik taraf bagi membolehkan anak-anak kita mempunyai tempat selamat dikunjungi selepas waktu sekolah.”
Perhatian istimewa
Sementara itu, Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Haji Muhamad menyatakan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Amirudin atas sokongan berterusan dalam memberikan perhatian istimewa dan sokongan padu kepada PPAS.
“Sememangnya sokongan daripada pemimpin kerajaan amat diperlukan supaya prasarana dan perkhidmatan perpustakaan dapat dinaiktaraf, agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat,” kata beliau dalam ucapannya.
Mastura turut mengucapkan penghargaan kepada kepada pihak JKR yang telah berjaya melaksanakan projek dengan harga projek yang munasabah, iaitu sebanyak RM3.25 juta (RM146.50 per kaki persegi).
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Unit Perancang Negeri (UPEN) dan Perbendaharaan Negeri Selangor, yang telah meluluskan bajet pembangunan bagi menaiktaraf perpustakaan-perpustakaan di seluruh negeri Selangor.
Sehingga tahun 2024 sebanyak 86 projek menaiktaraf perpustakaan telah dilaksanakan, melibatkan 76 daripada 104 perpustakaan, yang mana 15 projek telah dikendalikan oleh pihak JKR.
Tahun 2023 sahaja, terdapat 8 projek perpustakaan baharu telah dilaksanakan, manakala bagi tahun 2024, ada 2 projek perpustakaan baharu, di samping projek-projek lain.
Perpustakaan Syed Mashor menawarkan pelbagai kemudahan termasuk ruang baca, ruang komputer, akses WiFi percuma, bilik seminar, dan aktiviti-aktiviti berkaitan ilmu pengetahuan dan budaya.
Dengan sokongan daripada pemimpin tempatan dan komuniti, diharapkan perpustakaan ini akan terus menjadi mercu tanda ilmu dan budaya yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Perpustakaan ini telah siap sepenuhnya dan dibuka semula kepada orang awam pada Oktober 11, 2022.
Majlis Perasmian Penjenamaan Semula turut dihadiri oleh masyarakat setempat serta kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi kerajaan negeri and pusat.
Majlis juga diceriakan dengan hidangan makanan setempat secara percuma yang disediakan oleh peniaga dari Kuala Kubu Baharu.
ENDS