Projek Perintis Mesra Transit di 12 Perpustakaan

Projek Perintis Mesra Transit di 12 Perpustakaan

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) beraspirasi untuk menyediakan persekitaran kondusif, selamat dan selesa kepada anak-anak selepas waktu sekolah, kata Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Haji Muhamad.

Ini terutamanya semasa peralihan sesi persekolahan bagi pelajar sekolah rendah dan setelah habis sesi persekolahan bagi pelajar sekolah menengah.

Sehubungan itu, PPAS telah memulakan program Perpustakaan Mesra Transit pada tahun ini di mana keperluan semasa anak-anak disediakan.

Sebagai permulaan, sebanyak 12 buah perpustakaan akan terlibat dalam projek perintis ini.

Mereka adalah PPAS Daerah Sabak Bernam, PPAS Daerah Hulu Selangor, PPAS Daerah Gombak, PPAS Daerah Hulu Langat, PPAS Daerah Kuala Langat, PPAS Bagan Nakhoda Omar, PPAS Bukit Badong, PPAS Sri Manja, PPAS Pelabuhan Klang, PPAS Bukit Bangkong, PPAS Beranang dan PPAS Semenyih.

“Kesemua perpustakaan ini dilengkapi dengan bilik air yang lengkap termasuk pancuran air (shower) untuk mandi serta kafe atau pantri bagi memudahkan anak-anak makan sebelum pergi sekolah atau habis sekolah.

“Juga disediakan tempat solat dan rehat yang selesa,” kata Mastura dalam ucapan bersempena Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Syed Mashor di Kuala Kubu Baharu pada Mei 3.

Kemudahan-kemudahan ini akan membantu kanak-kanak mencari tempat selamat di perpustakaan (home away from home).

Selain itu, program ini juga akan membolehkan kanak-kanak ini bertanggungjawab dan mengambil kepemilikan terhadap kemudahan yang disediakan untuk mereka di perpustakaan mesra transit.

Sebagai permulaan, Mastura berkata makanan ringkas akan disediakan untuk kanak-kanak di perpustakaan transit ini.

“Kami boleh membantu mereka memasak telur rebus dan membuat sandwic mudah,” katanya.

Mastura juga mengalu-alukan bantuan daripada kawasan setempat dalam memastikan bekalan makanan mencukupi untuk kanak-kanak di perpustakaan-perpustakaan mesra transit ini.

“Jadi apabila anda melawat perpustakaan kami pada masa akan datang, terutamanya yang berada di bawah program transit mesra, anda boleh hantar buah-buahan atau coklat ke dalam peti sejuk kami,” tambahnya.

Bantuan NGO

Mastura berkata PPAS bertuah dengan kesudian empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama untuk menjayakan inisiatif tersebut.

Mereka terdiri daripada:

a) Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja (Malaysian Board on Books for Young People)

b) Pertubuhan MySayang Malaysia

c) Adab Youth Garage (AYG)

d) IKRAM Selangor

MBBY ditubuhkan dengan matlamat mempromosi dan menyebar-luaskan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja di dalam dan di luar negara, melalui rangkaian IBBY yang merangkumi 70 negara anggota.

Pertubuhan MySayang Malaysia ialah NGO yang akan membantu dalam usaha menjayakan perpustakaan mesra transit dengan menghubungkan PPAS dengan bakal penderma melalui tajaan dan aktiviti program CSR. 

Adab Youth Garage (AYG), ditubuhkan pada tahun 2013, merupakan salah satu pertubuhan yang komited dalam memberikan ekosistem sokongan dalam membantu anak muda terutamanya di dalam kawasan bandar supaya mereka mempunyai ilmu dan kemahiran dalam menghadapi masa hadapan. 

Inisiatif AYG adalah untuk membantu anak-anak muda dari kalangan B40 di kawasan PPR, termasuk menyediakan kemahiran menggunting rambut agar anak muda dapat berdikari dengan pendapatan sendiri.

AYG kini mempunyai 12 cawangan dengan 7 daripadanya berada di Selangor. 

“Melalui kerjasama ini juga, dengan persetujuan Dato’ Menteri Besar Selangor, PPAS akan mewujudkan perpustakaan mini di pusat perkhidmatan AYG di Selangor, dengan bantuan CSR agensi kerajaan dan pihak swasta,” kata Mastura.

IKRAM Selangor yang terdiri daripada 24 cawangan, akan membantu dalam pengisian kerohanian bagi anak-anak yang berkunjung ke perpustakaan. 

Di samping itu, ahli-ahli IKRAM Selangor melalui program sukarelawan juga akan membantu anak-anak ini dalam mengulangkaji pelajaran.

Usaha menaiktaraf

Sementara itu, Selangor Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyokong inisiatif PPAS untuk menjadikan perpustakaan sebagai premis mesra transit.

Beliau berkata Perpustakaan Syed Mashor di Kuala Kubu Baharu di daerah Hulu Selangor menjadi perintis dalam inisiatif ini. 

“InshaAllah inisiatif ini akan diperluaskan ke perpustakaan-perpustakaan lain yang dinaik taraf bagi membolehkan anak-anak kita mempunyai tempat selamat dikunjungi selepas waktu sekolah. 

“Meningkatkan aksesibiliti dan relevansi adalah langkah yang tepat untuk memastikan perpustakaan memenuhi keperluan dan minat pelbagai lapisan masyarakat,” kata beliau. 

PPAS kini sedang dalam usaha menaiktaraf perpustakaan-perpustakaan di seluruh negeri Selangor. 

Sehingga tahun 2024 sebanyak 86 projek menaiktaraf perpustakaan telah dilaksanakan, melibatkan 76 daripada 104 perpustakaan.

Tahun 2023 sahaja, terdapat 8 projek perpustakaan baharu telah dilaksanakan, manakala bagi tahun 2024, ada 2 projek perpustakaan baharu, di samping projek-projek lain.

ENDS

Contoh pantri yang bakal disediakan di 12 perpustakaan Selangor

Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Datin Paduka Mastura Haji Muhammad bersama wakil Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja
Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Haji Muhammad menerangkan konsep Perpustakaan Mesra Transit
Kanak-kanak di ruant selamat di perpustakaan
ms_MYMY